Thursday 27 December 2012

Endless

(listening to Tengku Adil - Babak Cinta)

"Aku ingin menjadi pembuka hatimu yang sekian lamanya
 Terkunci kerna slalu terluka
 Ku ingin menjadi penutupnya."

Hati itu senantiasa dikhianati cinta. Sering dan banyak kali. Sehingga hati itu sudah menjadi suatu objek yang tak membawa apa-apa nilai lagi. Ditikam acapkali. Dirodok sepanjang waktu. Dan hati itu menjadi batu. Keras, kaku, tak punyai perasaan dan membeku. Ia menjadi hanya seketul daging bewarna merah dan tidak lebih dari itu. Kekal ia di situ tanpa dipeduli apa kisahnya. Berhabuk. Kering kecut.

Tiba suatu masa, yang mana bila tiba-tiba ada hati yang bersinar dari jauh. Hati yang terang benderang datang secara perlahan. Mengelilingi si hati kering itu. Entah mengapa hati yang bersinar itu agak hairan akan hati yang kering. Walau hanya mengelilingi tetapi semacam ada suatu kuasa magnet yang membisikkan kepadanya untuk mendekati si hati kering itu. Dicuba untuk mengetuk walau ada gerun. Namun dalam gerun si hati yang bersinar masih ingin mencuba. Ada sesuatu yang istimewa di hati kering itu.

Si hati kering sedar akan kehadiran cahaya yang terang benderang mengelilinginya. Agak menyilaukan mata sehingga tidak terlihat apakah itu. Agak mencuri perhatian sehingga terdetik mahu tahu apa di sebalik itu. Namun hati kering sudah tidak punya perasaan. Perasaan untuk ambil tahu akan hal sekitaran. Mungkin fobia masih menyelubungi atau hidup hanya diatur mendatar sehingga ajal menjemput.

*tuk tuk* pintu itu diketuk.

Hati Bersinar  : Hi, maaf jika mengganggu. Tapi maaf juga kerana saya ikhlas terpaksa mengganggu. Boleh saya dekati awak?

Hati Kering    : *diam*

Hati Bersinar  : Jujurnya saya pun tak tahu apa magisnya yang sedang berlaku sehingga saya berkeinginan sangat untuk mendekati awak. Tapi saya tahu, hati saya sentiasa benar dalam perlakuan. Saya yakin akan hati saya.

Hati Kering    : *diam sambil merenung si Hati Bersinar*

Hati Bersinar  : Di sebalik renungan mata itu, saya tahu awak banyak terluka. Banyak sungguh penderitaan yang awak tempuhi. Mungkin terlalu kejam sehingga membuat awak diam seribu bahasa. Ada satu pertanyaan untuk awak. Jika manusia itu diutus dengan sikap mudah mengalah, awak fikir dunia ini akan mendiamkan diri untuk awak? Awak fikir dunia akan berpaling untuk tidak terus berlaku kejam terhadap  awak?

Hati Kering   : *berdehem* Jika dunia berlaku kejam sekalipun, mungkin itu sudah tersurat jalannya untuk saya. Sekuat mana pun saya cuba mengubahnya, tiada beza. Perlukah saya melawan pada benda yang sudah tersurat. Mahu apa? Semakin sakit dan pedih. Atau perlu dibiar sahaja, walau sakit namun itu adalah yang tersurat. 

Hati Bersinar  : Getaran suara itu benar-benar menggetarkan jiwa. Sumpah saya tidak berbohong. Adakah dengan itu awak disumpah untuk senantiasa disakiti. Maaf, saya mungkin agak keterlanjuran. Jika awak fikir itu semua adalah suratan, pernah tak awak terfikir suatu masa nanti akan hadir sekeping hati yang dapat  menggapai awak untuk lari jauh dari suratan takdir awak itu? Yang mana sekeping hati itu akan berusaha sedaya upaya untuk membawa awak lari dari takdir yang telah ditentukan Tuhan? Beranikah awak untuk melawan takdir awak sendiri?

Hati Kering    : *merenung* Perlu apa itu semua? Berani itu sudah lama saya kuburkan bersama pengkhianat-pengkhianat cinta. Kalau mahu diukurkan keberanian itu, mungkin tak setanding dengan cahaya yang awak rembeskan di ketika ini. Mungkin awak boleh berlalu sekarang. Saya perlu tenang di sini.

Hati Bersinar   : Melihatkan awak, saya sanggup menjadi pencuri. Dan ingin saya tegaskan di sini, saya adalah mungkin pencuri namun bukan pengkhianat. Tapi buat masa ini, saya tak mahu mencuri ketenangan itu dari awak kerana apa yang paling ingin dicuri saat ini adalah hati yang kering itu. Saya pergi dulu. Tapi saya pasti akan tinggalkan satu lubang lagi di hati itu. Yang mana  lubang itu hanya boleh diisi oleh saya. Selamat tinggal.

Hati Kering   : *terkebil-kebil*

Satu hari. Dua hari. Seminggu. Sebulan. Setengah tahun kemudian. Hati kering itu sentiasa tercari-cari akan cahaya yang terang benderang itu. Tetapi yang ada hanyalah kegelapan yang sentiasa menyelubungi. Entah mengapa, walau seringkali dia menidakkan akan kata hati yang berhabuk itu namun setiap kali itu ia disokong oleh akal. Apakah dia terlalu kejam akan dirinya? Betulkah apa yang telah dia lakukan selama ini? Perlukah dia membuka semula pintu hati yang kian reput itu? Masihkah fobia itu beraja?  Akhirnya, si hati kering itu bergerak setapak ke hadapan, cuba melangkah dengan berhati-hati setelah sekian lama keras kaku di situ. Dan kelihatan sekelilingnya yang penuh dengan warna warni, hanya dirinya yang berkelabu di situ. Cuba dicari cahaya yang terang itu namun tiada. Dihayun langkahnya semakin menjauh. Sambil mata memerhati setiap keindahan di sekeliling. Yang mana keindahan itu berjaya mengukir senyuman dihujung bibirnya. Dia berjalan tanpa henti. Menikmati setiap bentuk yang terhidang di depan mata. Menerobos setiap ceruk yang unik baginya. Langkahannya semakin jauh. Menguntum senyuman dibibirnya tanpa henti.

Dan tiba-tiba, kedua bahunya disentuh dengan perlahan dari belakang. Agak terkejut, namun dibiarkan. Cahaya itu.

Hati Bersinar  : Saya yakin, suatu hari nanti awak akan berjaya membunuh rasa fobia itu. Dan saya gembira untuk diri awak. Manusia adakalanya tidak perlukan tangan yang lain untuk terus mara ke hadapan. Hanya keyakinan dalam diri itu yang penting. Dan saya tak mahu ada insan seperti awak yang mensia-siakan setiap kejadian di dunia ini. 

Hati Kering   : *berpaling* Terima kasih atas ketukan itu. Mungkin saya tidak dimatikan lagi kerana banyak lagi ranjau yang masih menanti. Saya dilahirkan dengan penuh keberanian. Kehilangan saya menambah resah pada ranjau untuk beraksi. Terima kasih awak kerana berjaya mencuri fobia saya itu.

Hati Bersinar  : Dan saya mohon untuk mencuri hati awak pula. Sudikah awak menjadi teman saya? Sehidup dan semati.

Maka bermulalah ranjau baru dalam kehidupan si hati kering. Yang mana setiap ranjau itu ditempuh sekali lagi dengan hati yang berani. Namun kali ini dia ditemani dengan cahaya yang terang benderang itu. Menghapus setiap liku-liku kejam.  Merejam setiap duri yang meliar. Namun akhirnya mereka terpaksa akur dengan setiap ketentuan. Yang mana akhirnya ketentuan Tuhan itu penghujung cerita mereka. 

SD : tiada penghujungnya kisah itu. jika adapun, hanya kerana pasrah dan akur.

2 comments:

Anonymous said...

kau suke tulis panjang2.. penat aku nak baca byk kali pffftt

Unknown said...

kalau takde masa jangan nak bukak sekarang!