Wednesday 26 December 2012

Always

Dia sentiasa ada. Walau bagaimana aku cuba menjauh, dia sentiasa wujud. Tenang kehadirannya, setenang air yang mengalir. Puas aku cuba berlari, membawa jauh rindu seribu tahun itu. Masih juga aku kalah. Masih juga aku tiada terdaya. Ke hujung dunia sekalipun aku cuba menyembunyikan diri ini, pasti akan dikesan. Kerana aku membawa rindu itu bersama. Rindu milik kau dan aku. Dan mana mungkin aku bisa meninggalkan rindu itu. Ia sudah menjadi hampir keseluruhan nyawaku. Sungguh, tak sangka ini yang bakal kutempuh.

Dia sentiasa ada. Masih begitu, tidak berubah walau seinci pun. Masih hadir dengan senyuman yang sering kudamba. Dan mata bulat yang sentiasa dalam gambaranku. Lancar pertemuan itu diselang-seli dengan pelbagai khabar setelah sekian lama tidak ketemu. Dalam hatiku, betapa kejamnya aku cuba melarikan diri dalam diam. Walhal langsung tidak dia patut diperlaku begitu. Dia ada jahat dalam baiknya. Tapi lagi banyak baik dalam jahatnya. Maaf, ada masanya rindu seribu tahun itu hampir membunuhku sehingga aku sanggup lari bersama ego. Sunguh, tak sangka ini yang bakal kutempuh.

Dia sentiasa ada. Dalam tidurku. Dalam jagaku. Dalam setiap perlakuanku. Dalam setiap pergaulanku. Dalam setiap detik masaku. Walau sebesar mana pun pembohongan yang cuba aku lakukan, masih gagal untuk menutup setiap kewujudan diri itu. Dia menjadi bayang-bayang dalam hidupku. Yang sentiasa akan kelihatan bila siang disimbah mentari dan malam diteman rembulan. Sungguh kuat penangan rindu itu, membuat aku berdiri teguh hanya sebagai diri aku sahaja. Aku dan rindu itu. Sungguh, tak sangka ini yang bakal kutempuh.

Dia sentiasa ada. Membuka mata dan minda setiap kali aku hampir ke lembah penghinaan semula. Walau lembah itu tempat untuk aku membunuh diri, masih lagi kehadirannya tepat pada masa dan menggapai tanganku semula. Sepanjang hidupku, dialah satu-satunya insan yang aku kagumi. Kalau superhero itu hanya khayalan semata, bagiku superhero itu wujud. Wujud kerana ada insan seperti dia. Dia menjadi watak sebagai kawan, sahabat, kakak, abang, ibu, ayah, adik, nenek dan teman dalam hidupku. Dan watak yang pelbagai itu membuktikan dia adalah superhero ku. Tidak dianggap sebagai kekasih hati kerana dia tidak layak sebagai kekasih. Dia adalah lebih dari itu. Pemegang rindu seribu tahun. Dan aku mohon semoga kekal rindu itu dalam ingatan. 

SD : di dalam hati ini bukan ego. hanya ruangan kosong, sekosong-kosongnya. namun tiada dasar untuk dipijak. ia hanya kosong.

No comments: