Thursday 31 January 2013

OST #UST

Manusia separa Tuhan
Merejam hukum pembalasan
Tanpa sedar melampau batasan
Tanpa sedar bukan tugasan
Dibuang segala sempadan
Nafsu dirajai akal diketepikan
Demi melupai nyawa hanya pinjaman.

#Untuk Separa Tuhan.

Naif-naif setiap manusia, jangan dilupa topeng di muka.
Penat-penat asyik diluka, jangan dilupa api neraka.
Kau dan aku sama manusia, apakah beza kuasa kita?


Ke kiri pun dia ke kanan pun dia
Berundur terjumpa dia ke hadapan pun tetap dia
Akal kepelikan di mana-mana pun dia
Sudah matikah yang lain bila hidupnya si dia? 

Aku samakan kau dengan si dajjal
Yang mana pun kau pergi mesti nak pedajal!
 

 

Tuesday 29 January 2013

Burden

Aku tak mampu untuk seret hati ini lagi lebih jauh. Berkelana entah ke mana, menyeksa jiwa dan raga. Mahu dibiar, mahu ditinggal, mahu dilempar di tepi itu sahaja. Terlalu berat untuk dibawa bersama. Terlalu beban untuk diangkut ke sana dan ke sini. Melewat setiap detik perjalanan ku, menyusah setiap perkara ingin dilaku. Bolehkah aku simpan hati ini untuk dijagai kamu? Tidak perlu dibikin apa. Hanya simpan di dalam peti jagaan. Bolehkah kamu menjadi penjaga kepada peti itu. Tidak perlu dirapi, hanya biar di dalam peti. Aku mahu merentas dunia tanpa beban hati itu. Sekembalinya aku nanti, akan ku kutip semula peninggalanku itu .

SD : beban hati.

Monday 28 January 2013

Soul

Jiwa
Halimunan bernyawa
Penghuni si dara
Yang berlegar tiada hala
Sementelah dirobek tanpa rela
Bikin mati segala rasa
Yang kini bergelandangan tiada kata
Jiwa mati sia-sia.

SD : derita jiwa mati, sangat derita.

Friday 25 January 2013

Non-Halal

Perasaan sayang pada yang haram. Memandang secara curi pada yang haram. Menyentuh permukaan yang separa haram. Perhubungan yang haram dalam haram.

Perkara yang haram sentiasa dilihat lazat. Sentiasa dipandang nikmat. Tahu itu haram. Tahu akan padahnya. Tahu pada 'penyakit' yang bakal mengundang. Tapi bolehkah dihalang? Mampukah dihadang? Jawapannya boleh dan mampu, pada yang boleh dan mampu. Kepada yang melihat sesuatu yang haram itu syurga, kenikmatan dan kelazatan itu langsung tidak mahu dilepas. Dikulum dan dijilat sehingga basah. Dihenyak sehingga puas.

Penghujung waktu, sesuatu yang haram itu dijunjung, disanjung dan dibenarkan dalam luar sedar. Awalannya yang haram itu dilabel sebagai separa halal. Namun sedikit demi sedikit dalam ketamadunan yang silih berganti membuatkan yang haram itu bertukar halal yang paling nikmat. Paling sedap.

Bolehkah yang haram itu dibanteras? Tepuk dada, tanya hati, mampukah akal menakluk nafsu yang membuas? Dalam menentu pada yang halal seumpama mencari suis lampu dalam keadaan gelita. Mungkin bertemu namun setelah berkali terlanggarkan objek yang berkeliling.

SD : yang haram menimbum hingga menutup langsung pada yang halal.



Monday 21 January 2013

Neutralised

Cuba perasankan keadaaan juri dalam pertandingan masak-memasak. Selepas merasa sesuatu makanan, mesti juri-juri akan kumur mulut atau minum sedikit air mineral / air masak. Sebab nak neutralkan semula rasa yang melekat di lidah.

Dan aku mengambil konsep yang sama. Untuk meneutralkan pemikiran aku, selepas mendengar bahan-bahan gosip atau cerita-cerita tidak menarik atau luahan-luahan rasa; aku akan 'bekukan' diri untuk sementara dari menerima cakap-cakap yang seterusnya. So that, aku boleh join parti bebas. Eh?

SD : jadi neutral, bukan lalang yang miang!

Madness

Rasa rendah diri boleh tak? Tahu tak rendah diri tu rupa macam mana? Owh, tak belajar moral dan tak tahu macam mana rendah diri tu. So, dalam Pendidikan Islam pun takde ajar ke? Ke kau ni jenis yang tak suka masuk kelas. Kaki ponteng? Bangang!

Rasa rendah diri bukan nak suruh kau rasa 'kecil' sangat dalam kalangan manusia yang lain. Rasa rendah diri nak suruh kau sedar, yang manusia ni bukan-lah sempurna sangat. Okey-lah. Aku bagi muka sikit kat kau. Kau memang manusia yang sempurna, tak pernah berbuat salah. Maksum sangat-sangat. Kira manusia paling baik dalam muka bumi ni cuma kau sorang jerk-lah. Puas hati?

Aku mohon satu benda boleh tak? Satu jek permohonan untuk direalisasikan sebelum mati aku nanti tidak terbuka mata dan akhirnya aku menjelma semula menjadi sundel bolong. Minta supaya kau dan diri kau itu dihadapkan di depan cermin yang besar. Kalau boleh yang muat satu badan kau. Kalau boleh-lah. Dan lepas dah terlihat akan pantulan diri sendiri depan cermin tu, cuba kau cakap, "Aku pernah buat salah. Aku mengaku aku juga bersalah. Dan aku ini hanya insan biasa, yang tak pernah lari dari berbuat salah." Okey, cukup. Itu sahaja. Lafazkan dengan seikhlas hati, penuh penyesalan dan bersungguh-sungguh. Kalau boleh, ucapkan sambil tangisan bercucuran penuh dengan rasa insaf. Takkan dengan diri sendiri pun nak menipu, ye dok.

Apakah motifnya aku nak menyusahkan hidup kau, paksa-paksa dok hadap cermin? -Memang sengaja menyeksa dan nak memaksa supaya percaya yang kau juga bersalah. Untuk sekali, jangan didengar kata-kata diluar. Dengar pada hati sendiri. Percaya yang kau juga bersalah. Percaya-lah yang kau juga bersalah. Percaya-lah. [kau mahu diulang berjuta kali ke?? LOL]. Rasa rendah diri pada diri, rasa yang kau itu bukan manusia sempurna. Jadi manusia biasa, yang bukan siapa-siapa.

Tiada sesiapa yang mahu menganiaya kau itu sebab kau itu bukan Presiden US. Kau tidak sepopular mendiang Princess Diana, yang diekor paparazi ke merata tempat sehingga menyebabkan mala petaka ke atas dirinya. Engkau. Engkau itu hanya manusia biasa yang lahir di Malaysia, yang nama pun rasanya tak pernah terlorek di Malaysia Books of Record dan rasanya PM kita pun tak kenal kau. Okey tamat.


SD : selamat jalan kegilaan yang membosankan.




Friends and Over

Letih dan lelah. Nak hadap satu-satu drama dok bentang depan mata. Diam bukan sebab mengiyakan apa yang diperkata. Diam bukan sebab terfikir betapa bodohnya sebab percaya yang dahulu. Diam sebab meluat dan jijik dengan setiap kata itu. Berhenti, boleh tak? Jangan sampai mulut ini yang berbicara, bikin kocak kau punya perasaan. Aku malu. Aku tahu erti malu. Dan seakan erti malu tu tiada langsung dalam diri engkau. Engkau yang berbuat salah tapi aku pulak yang rasa malu. Malu sebab engkau itu kawan. Malu aku ini, aku diam-diamkan. Malu ini aku simpan, sorok dalam-dalam. Hingga aku pula yang tak betah ke luar dunia, takut malu ini tersebar.

Aku masih punya hati manusia, masih punya hati yang belas, masih punya sifat kasihan. Jika diikutkan raksasa yang sering mengaruk dalam badan, dah lama engkau itu dihentam teruk. Di'laser2', ditonggang terbalik dengan setiap kata-kata. Mahu saja disuap setiap perkataan itu semula ke mulut jahanam engkau itu. Baru-lah boleh dikeluarkan pernyataan, "Nah, makan balik 'tahi-tahi' engkau ini!" Dan pastinya dah lama engkau itu sendiri yang akhirnya malu untuk bertemu dengan aku. Dan mungkin juga dah lama akhirnya kita ini tiada apa-apa. Yang aku tahu pengakhirannya mungkin akan timbul pula cerita yang lain pula di belakang hari. Sungguh stereotaip sekali percaturan kehidupan engkau itu. Membosankan. Bila mahu mati?

SD : aku cuma ada satu soalan. dan aku simpan bila masanya tiba. jaga-jaga.

Thursday 17 January 2013

Is that a secret?

Minggu ni kesihatan agaklah merudung keadannya. Makanya, banyak benda yang terpaksa tertangguh atas alasan kerja di waktu-waktu akhir itu kononnya lagi mendatangkan idea yang bernas. Bernas-lah sangat kan. Dalam badan tak sihat, otak tak dapat nak berfikir secara normal tapi banyak benda yang terlintas. Nak dijadikan cerita, perkara yang terlintas pulak banyak yang menyakitkan hati. So celah mana-lah demam nak surut kalau hati membara jek. Haish. Geram tahu.

Duduk dalam satu situasi yang kau perlu tutup mulut tapi dalam masa yang sama ada mulut lain yang terbuka, geram kan. Cerita yang perlu ditutup, jangan dihebohkan itu kita panggil rahsia, kan? Rahsia itu terbongkar kalau ada orang tahu, kan? Dan terbongkar rahsia itu sebab ada orang cerita, kan? Hah! Tak ke pening ayat aku tu. Mohon kemaafan jek-lah di sebalik kesulitan sebab aku memang tengah tak sihat sekarang.

Jadinya, bagilah sedikit pencerahan apa definisi rahsia ni sebenarnya. Atau masing-masing teruja sebenarnya, pada awalannya perkara tertutup itu mahu dirahsiakan. Tapi sebab faktor-faktor yang mengujakan, saja jek nak bagi hint sikit-sikit ye dok. Teruja-lah katakan. Tapi ini bukan kali pertama rasanya. Masih teruja lagi ke? Pelik-pelik betul korang ni.

Kalau rahsia buatlah macam rahsia. Betul-betul jadikan satu-satu perkara itu sebagai rahsia. Bukan susah pun. Rahsia bukan satu benda yang boleh dikongsi dengan lebih dari 3orang (yang paling afdhal). Sebabnya, bila dah lebih dari 3orang yang tahu, maknanya darabkan sajalah 3orang itu dengan 3 lagi sekali, dan lagi sekali dan lagi sekali dan lagi sekali. Tengok, ramai dah tahu kan. So celah mana yang kita nak panggil rahsia?

Okay, benda pun dah terlepas dan masih ada lagi yang boleh disorok sembunyikan. Aku pun teruja juga, gila tak teruja. Tapi bila dah definisi sebagai rahsia, tolong-lah realisasikan.

SD : *senyum-senyum*

Tuesday 15 January 2013

PSP Shah Alam #5

HAI, SAYA SAYANG AWAK.

Hai awak, yang pergi waktu kelam
Yang melangkah perlahan diam-diam
Dalam leka saat mata terpejam
Membawa seribu satu perasaan terpendam.

Hai awak, saya masih di sini
Cuba memahami setiap situasi
Pemergian mengejut tanpa salam permisi
Adakah perlu kehilangan itu saya tangisi?

Hai awak, yang merantau entah ke mana
Adakah ke syurgawi atau ke lubang neraka?
Perlukah bibir ini menzikirkan pelbagai doa?
Berharap semoga awak memeluk bahagia.

Hai awak, biarlah ditunggu seribu tahun
Mungkin dicaci dihina tiada kudrat untuk move on
Pasti tidak mati hidup penuh dengan makian
Saya kekal disini menanti kepulangan.

SD : Puisi Satu Petang Shah Alam #5 
       19 Januari Taman Tasik Rekreasi Seksyen 7 
       Tema: Hai, saya sayang awak. 
       Moh ler datang ramai-ramai.






Friday 11 January 2013

Respect

Dalam dunia penuh musibat
Berterabur dengan sifat khianat
Sana sini asyik melaknat
Masih adakah rasa hormat?

Bila dihormat kau rasa disanjung
Bila dihormat kau bagai dijunjung
Bila dihormat seakan kau terulung
Dapat dibezakah, itu hormat atau bohong?

SD  : aku sentiasa hormat setiap keputusan orang lain, dan aku tak harap untuk dihormati setiap keputusanku. jika tiada rasa ingin menghormati, sila jangan masuk campur.

That Day...


-Si Bulan-

Aku lagi suka malam dari siang
Aku lagi suka sejuk dari panas
Yang paling sangat...
Aku lagi suka bulan dari matahari...

Bulan...
Cantik dipandang
Sejuk ditatap
Indah menerang
Persona di balik awan

Bulan...
Tak sakit mata menatap
Tak gugat dilindung awan
Sinaran terpancar segenap alam
Pujaan mu ramai, mari abaikan

Bulan...
Walau kau hadir bukan selalu
Terhalang dek awan
Terkabut dek ribut
Aku masih setia disini
Menanti detik kau muncul
Yang senantiasa membawa
Seribu satu makna dalam hidup.

SD : rasa mual.hiks.

Wednesday 9 January 2013

Rest in Peace CJ [08/01/2013]

Aku tak perlukan pandangan atau nasihat
Aku tak perlukan pelukan hangat bila aku kesunyian
Aku tak perlukan jari yang mengesat hampir
setiap air mata yang tertumpah ke pipi
Aku tak perlukan pandangan itu yang sentiasa tepat ke wajah sugulku
Aku tak perlukan itu semua dari kau.

Aku tahu kau tak mampu bersuara
Aku tahu kau tak punya tangan untuk memeluk
Aku tahu jarimu itu takkan bisa mengesat limpahan airmata
Aku tahu pandangan itu hanya hambar tanpa sebab
Aku tahu kau tak mampu untuk itu semua.

Terima kasih di atas hayatmu yang dulu
Kau peneman ketika aku bersendirian
Kau pendengar setiap keluh kesah dan raunganku
Kau pemerhati setiap segala perlakuan hodohku
Paling banyak kau diam bila aku meluah rasa hibaku
Seumpama kau cuba memahami apa yang aku sampaikan.

Maaf, aku tak menjaga sehingga hujung nyawamu
Maaf, aku tiada disisi sehingga menutup matamu
Maaf, aku tak merebut masa untuk menjengukmu
Maaf, tiada pelukan mesra dikala kita bertemu
Maaf, aku rasa sesuatu di saat itu namun tidak terluah.

Tenang dan damailah kau di sana
Lahirlah semula sebagai bintang yang akan kurindu
Kusisipkan angin lalu dengan kasih yang tak berpenghujung
Doakanlah aku disini, ucapkanlah bahagia untukku.



SD : CJ, si baby kecik yang sangat manja, mengikut kata walau agak nakal. kau menangis airmata darah sekalipun, CJ takkan kembali. marah berbakul sekalipun takkan mampu menghidupkan dia semula.

Star & Moon

Aku bintang
Aku jua bulannya
Aku indah menerang
Aku juga melimpah cahaya

Aku si bintang bersinar
Aku jua si bulan purnama
Aku berseri cantik memancar
Aku juga memikat setiap mata

Aku bintang beribu
Aku jua si bulan nan setia
Terdampar di langit mengintai si rindu
Walau berzaman masih pada si dia.

SD : semoga mimpi malam mu dihias indah ke pagi.

Tuesday 8 January 2013

Additional Character

Kau pecahkan kesunyian yang berhari
Hanya dengan cerita yang berbasa basi 
Langsung tiada tanya khabar yang di sini
Paling gah pun bawaklah topik kontroversi.

Selamba kau datang tanpa ada rasa segan
Padahal suara kau tak didengar berzaman
Kau berborak macam baru semalam kita di taman
Padahal kau mencari bila hati wujud rasa bosan.



SD : jangan cerita pasal kucing.

Parcel of Life

Kadang kau tahu apa kau mahu
Lantas apa perlu bising mahu bagitahu
Satu dunia kau pekik biar semua tahu
Bila dah dicantas baru kau diam melahu.

Hidup sementara kau bantai enjoy saja
Sampai ada hati tersayat, kau buat buta mata
Konon nak kata itu balasan dari 'cik karma'
Lupakah yang 'cik karma' pun mengejar kau juga.

Pentas dunia kau bolot jadi hakmilik
Nasib orang lain semua habis kau tilik
Mungkin kau kadang terlupa ada mata cukup jelik
Tapi sengaja berdiam, seronok tengok kau bergelek.

Kau tahu manusia tak semua hati suci
Mampukah kau ambil setiap satu pergi cuci
Bukan tugas kau untuk buat semua terperinci
Yang mana tak selesa, tenang biar ditepi.


SD : rencah kehidupan. kau mahu apa? aku cuma ada perasa tomyam.

Monday 7 January 2013

Life Cycle

dalam setiap hari ada cerita
dalam setiap cerita ada ketawa
dalam setiap ketawa ada derita
dalam setiap derita ada sengketa
dalam setiap sengketa ada punca
dalam setiap punca ada jawabnya
dalam setiap jawabnya ada cerita.

SD : kadang-kadang hidup itu melucukan.

Friday 4 January 2013

If....How come

Kalau kau tak beri peluang
Mana mungkin dia mendapat ruang

Kalau kau sentiasa berlegar di sisi
Mana mungkin dia mencari pengganti

Kalau kau acapkali tanam janji yang seribu
Mana mungkin dia berpaling pada yang baru

Kalau kau berwujud di depan mata
Mana mungkin dia pandang yang lain bermain kata

Kalau kau hadir masih dengan senyuman
Mana mungkin dia berlalu dengan tangisan

Kau berundurlah seketika, diam di tepi
Lihat jauh mana dia mampu berlari.

SD : sedang sakit perut yang menyengat.

Thursday 3 January 2013

Rebound

Pernah suatu ketika, hati terkoyak dek pengkhianat cinta. Hancur berderai tanpa dapat dipulih semula. Bila erti curang dilorek kejam di atas hubungan yang sempurna. Akal tidak dapat menerima walau sejuta kata maaf kerana kecurangan yang berlaku atas nama cinta sempurna itu sukar dihapus walau berzaman sekalipun. Lantas kaki mengorak langkah dalam degil sedang hati robak rabik menangisi nasib cinta sempurna. Melangkahlah kaki tanpa langsung menoleh ke belakang, dengan impian; hidup harus diteruskan. Hati menyumpah berbakul dan memaki hamun, kerna sakit ditanggung hatta sifat terlalu ego, langsung tidak diberi peluang kedua. Berkelanalah kaki membawa haluan baru, menyeret hati yang rabak berdarah tak diberi rawatan. 
 
Tiba di suatu daerah, yang penuh gilang-gemilang. Mungkin ada pesta yang diraikan. Namun tidak diketahui, bahawa daerah itu sentiasa meraikan hari-hari mereka. Kerana setiap hari adalah hari bahagia. Menapaklah si hati lara masuk ke dalam kawasan yang gegak gempita itu sambil menikmati kemeriahan yang diraikan penduduknya. Tatkala kaki sibuk melangkah ke sana dan ke sini, kepala di dongak-dongakkan ke langit untuk melihat percikan bunga api dengan tanpa disengajakan badan terlanggar sesuatu lalu terjatuh. Di angkat kepalanya untuk melihat apakah yang di langgar. Sebutir bintang timur di situ, bercahaya terang bersinar indah. Mata terkesima, hati terdetik betapa indah ciptaan Tuhan. Si bintang timur menghulurkan bantuan, lalu tangan digapai bingkas bangun. Hatta hati yang tercarik seakan menguntum melihatkan si bintang bersinar-sinar. Dan si bintang yang bersinar dengan sepenuh hati berjanji untuk merawat luka yang dicarik. Hati tersenyum kembali diraikan bahagia oleh si bintang timur. 

Si bintang timur semakin hanyut dalam cinta yang dibina demi mengubat si hati lara. Segala perkara mustahil diwujudkan demi membuktikan betapa dalamnya cinta yang akan diselam bersama. Walau pelbagai keindahan yang disaji namun si hati lara tidak dapat menipu masih teringat akan cinta yang lama. Bintang timur menyeri indah di depan mata, namun memori si pengkhianat cinta itu yang senantiasa menari dalam imbasan. Mulut dikatup, tidak mahu dikhabarkan perasaan sebenar lantaran berasa gembira dengan setiap layanan yang diberi. Kepuraan yang dilakonkan hanya untuk meraih bahagia diri sendiri. Sedang diri sangat sedar bahawa tiada keserasian antara dirinya dan bintang timur. Perhubungan itu dibiar berlalu hanya disulam oleh sebelah pihak.

Suatu masa, terlihat akan kelibat si pengkhianat cinta. Hati yang lara tidak dapat menahan rasa rindu yang teramat. Lalu berlarilah ia sekuat hati keluar dari daerah. Berlari menuju ke arah si pengkhianat cinta. Cairlah si hati lara apabila dilafaz janjikan setia cinta dan tiada istilah curang dalam hubungan yang bakal dibina semula oleh si pengkhianat cinta. Berpergianlah si hati lara bersama pengkhianat cinta jauh dari daerah si bintang timur. Dan si hati lara berlalu pergi tanpa ada niat walau sedikit pun untuk  meninggalkan pesanan kepada si bintang timur. Meninggalkan si bintang timur terpinga-pinga mencari-cari kemanakah hilangnya si hati lara.

Si bintang timur yang dahulunya bersinar terang-benderang, kini sedikit demi sedikit makin malap akan cahayanya. Hari demi hari yang terang benderang itu semakin pudar dan disedari akan penduduk daerah tersebut. Tiba masa, angin melayangkan khabar tentang si hati lara yang sedang enak berbahagia bersama pasangannya. Namun khabar itu tidak dihebahkan demi menjaga hati si bintang timur. Si bintang timur masih menanti, menunggu kepulangan si hati lara. Walau sebenarnya dia tahu, si hati lara telah pergi jauh meninggalkannya tanpa secebis pesanan.

SD : sesungguhnya celaka-lah ke atas kamu yang dengan sengaja mempermain-mainkan perasaan hati orang lain demi menggapai bahagia untuk diri sendiri. dan celaka itu terpalit ke atas aku juga untuk selamanya.

Wednesday 2 January 2013

Urban Legend

Hujan lebat di luar dan cuaca teramat gelap. Walaupun sekarang jam menunjukkan angka 3. Jom terjah kotak memori tentang cerita seram.

SERAM#1.

Fikah dan Murni adalah pelajar tahun akhir di sebuah kolej swasta terkemuka di ibu kota. Mereka tinggal di bilik yang sama sejak pertama kali mendaftar di situ. Mempunyai perwatakan yang berbeza, namun mereka adalah sangat rapat antara satu sama lain. Di penghujung semester sebelum peperiksaaan akhir, kolej mengadakan parti untuk pelajar-pelajar yang akan menamatkan pengajian. Acapkali diajak oleh Fikah, namun Murni menolak dengan alasan banyak nota yang perlu dibuat dan dia perlu belajar untuk menghadapi peperiksaan akhir. Akhirnya Fikah akur akan keputusan Murni dan Murni berjanji untuk mengulangkaji bersama Fikah setelah semua notanya lengkap. Maka berlalulah Fikah dengan pakaian bertemakan rockstar sambil ditunggu oleh pasangannya di bawah hostel.
Agak lewat dan jam hampir menunjukkan ke angka tiga, baru Fikah menunjukkan muka di bilik. Bilik gelap dan Fikah tidak berhajat untuk membuka lampu. Yakin mungkin Murni tertidur kepenatan dan tidak mahu menggangu. Setelah membasuh muka dan menukar pakaian di dalam gelap, Fikah terus menuju ke katilnya dan terus melelapkan mata.
Keesokkan paginya, Fikah terbangun dan agak kehairanan kerana Murni bangun lewat. Kebiasaannya Murni akan bangun terlebih dahulu dan mengejutkannya. Kelihatan Murni masih berbaring di katilnya sambil mengiring menghadap ke dinding. Fikah lantas meluru ke arah Murni dan mengejutkannya. Digerak-gerakkan badan Murni beberapa kali sambil memanggil namanya. Kaku. Dialihkan badan Murni dan....
Di dinding itu tertera, "Tidakkah anda gembira anda tidak menghidupkan lampu?" dengan darah merah pekat dan Murni dalam keadaan perut dan dadanya ditikam berkali-kali.

SERAM#2

Suatu malam, Julie keseorangan di rumah kerana ibubapanya terpaksa ke suatu daerah yang jauh untuk mesyuarat tergempar. Namun tidak ditinggalkan Julie berseorangan kerana Bobby, anjing peliharaan mereka ada bersama. Malam itu setelah penat menonton rancangan televisyen, Julie naik ke atas untuk tidur. Dan kelihatan kelibat anjingnya sedang berlingkar di bawah katilnya. Setelah membasuh muka dan menutup semua pili paip, Julie naik ke katilnya sambil tangannya terjulur ke bawah katil. Anjingnya menjilat-jilat tangannya dan dia hampir mamai akan keadaan itu. 
'Tik...tik...tik.' bunyi seperti air menitik lantaran pili paip yang tidak ditutup ketat. Julie lantas bangun dan menuju ke bilik air. Dipulasnya kepala paip sehingga tiada air menitik. Dan dia kembali ke katil semula. Dalam keadaaan yang sama seperti sebelumnya, dia mamai dijilat oeh anjingnya lagi.
'Tik...tik...tik.' Masih berbunyi lagi titisan air itu. Dia bingkas bangun dan yang menghairankannya bunyi itu datang dari arah almari bajunya. Dia berjalan secara perlahan ke arah almarinya dan membuka pintu almari secara berhati-hati dan ....
Anjingnya tergantung secara terbalik dan darah menitik dari kelaran di lehernya. Di permukaan almari tertera, "Bukan anjing sahaja yang boleh menjilat." Julie berpaling ke belakang dan tiba-tiba kesakitan di dadanya seperti ditusuk objek tajam.


SD : so how? takut tak?

Next Step : 1

Tatkala matanya dibuka, hanya cahaya besar yang terang benderang menyilaukan pemandangan. Suasana sunyi sepi. Kelihatan dinding putih memagar sekeliling penglihatan. Cuba diangkat kepalanya, namun kesakitan yang berdenyut itu berulang kembali. Namun kali ini, dengan agak degil dia mencuba sekali lagi. 

"Arghhh." Akhirnya berjaya dan disandarkan badannya di birai katil.

Mata dibuka seluas-luasnya. Mencari warna lain selain putih yang menebar pemandangan. Tiada. Cuba diingat-ingat kembali kejadian yang membawanya ke bilik ini, namun hampa. Langsung tidak dapat diimbas kembali. Dalam keadaaan terpinga-pinga itu, secara tiba-tiba dinding putih itu terbuka dan  terbentuk sebuah pintu. Seorang perempuan lengkap berpakaian putih hingga ke paras lutut masuk sambil menhadiahkan senyuman di bibir merah menyalanya. 

"Siapa kau? Kat mana aku sekarang ni? Tempat apa ni?" bertubi soalan dituju demi mengharapkan jawapan yang segera dari perempuan yang masih berdiri jauh dari tempatnya.

Hanya senyuman yang dihulurkan tanpa sedikit jawapan. Langsung tiada bunyi atau suara yang dikeluarkan. Membuatkan hatinya bertambah amarah. Kali ini dia cuba untuk turun dari katil. Digesa tubuh badannya yang sakit teramat itu untuk bergerak. Agak lambat pergerakannya tanpa menyedari perempuan itu sudah beralih kedudukannya dan kini berada berhadapan dengannya.

"Ahhh!" terkejut dengan kehadiran perempuan itu yang secara mendadak.

"Bodoh lah kau ni. Terkejut aku. Bila masa pulak kau dah tiba-tiba terpacak depan aku ni?"

Dan bila mata itu kedua-duanya bertemu, bibir yang merah menyala itu bersuara,

"Lupakah kau akan aku? Langsung kah tiada aku dalam ingatan kau? Masih ingatkah janji kau. Janji seribu tahun itu. Aku datang sekarang untuk menuntut janji-janji tersebut." senyuman itu bertukar menjadi hilaian ketawa yang panjang. 

Hanya riak terkesima yang terpacul dan kepala menjadi semakin sakit berdenyut cuba mengimbas setiap kenangan. Dinding yang memagari bewarna putih itu sedikit sedikit dilunturi dengan warna merah pekat. Dan perempuan itu masih berdiri di situ sambil ketawa dan mencakar-cakar kulit mukanya.


SD :  one of them. semuanya dalam 2013. pelbagai genre.

2013

Mukasurat ke-2 dari 365.

Agak lambat juga nak wish selamat tahun baru. Tapi apa bezanya pun. Tahun berubah angka, bumi semakin nak uzur, penduduk Bumi makin kemaruk mengarut dan aku masih stay 20's. -..-

2013. Tanpa azam baru namun yang sentiasa dikejar adalah impian itu. Yup, semoga tercapai tahun ini. Tapi nak semoga-semoga sangat pun kalau dasar pemalas tu masih dok merasuk badan, payah gak. So, jalan lain buat-lah secara istiqamah. Orang kata sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Jom tengok, bukit apa yang mampu Shina bina.

2013. Maybe aku tak berapa gemar akan angka tersebut. Nombor ganjil dan tigabelas (13) bukan satu nombor bertuah. So aku akan ubah menjadi tahun 2012A atau sepatutnya 2013A. Yang mana pun-lah, tak kisah. Macam akan jadi tahun pelik jerk bagi aku tahun ni. Hadap jerk-lah.

2013. Yang lama itu masih lama. Yang musuh itu masih musuh dalam selimut. Yang kawan itu masih kawan menikam. Yang mulut manis itu, harap disahkan menghidap kencing manis tahun ini. Tapi banyak juga perubahan depan mata. Baik menjadi jahat, jahat berubah baik. Yang solo dah berpasangan, yang berpasangan pula bercerai-berai. Dan aku, kekal solo yang nakal. hiks.

2013. Tak banyak impian. Cuma satu. Tapi yang satu tu paling azab nak dicapai. Semoga tercapai. 

SD : mahu lebih dari 24jam sehari.