Thursday 3 January 2013

Rebound

Pernah suatu ketika, hati terkoyak dek pengkhianat cinta. Hancur berderai tanpa dapat dipulih semula. Bila erti curang dilorek kejam di atas hubungan yang sempurna. Akal tidak dapat menerima walau sejuta kata maaf kerana kecurangan yang berlaku atas nama cinta sempurna itu sukar dihapus walau berzaman sekalipun. Lantas kaki mengorak langkah dalam degil sedang hati robak rabik menangisi nasib cinta sempurna. Melangkahlah kaki tanpa langsung menoleh ke belakang, dengan impian; hidup harus diteruskan. Hati menyumpah berbakul dan memaki hamun, kerna sakit ditanggung hatta sifat terlalu ego, langsung tidak diberi peluang kedua. Berkelanalah kaki membawa haluan baru, menyeret hati yang rabak berdarah tak diberi rawatan. 
 
Tiba di suatu daerah, yang penuh gilang-gemilang. Mungkin ada pesta yang diraikan. Namun tidak diketahui, bahawa daerah itu sentiasa meraikan hari-hari mereka. Kerana setiap hari adalah hari bahagia. Menapaklah si hati lara masuk ke dalam kawasan yang gegak gempita itu sambil menikmati kemeriahan yang diraikan penduduknya. Tatkala kaki sibuk melangkah ke sana dan ke sini, kepala di dongak-dongakkan ke langit untuk melihat percikan bunga api dengan tanpa disengajakan badan terlanggar sesuatu lalu terjatuh. Di angkat kepalanya untuk melihat apakah yang di langgar. Sebutir bintang timur di situ, bercahaya terang bersinar indah. Mata terkesima, hati terdetik betapa indah ciptaan Tuhan. Si bintang timur menghulurkan bantuan, lalu tangan digapai bingkas bangun. Hatta hati yang tercarik seakan menguntum melihatkan si bintang bersinar-sinar. Dan si bintang yang bersinar dengan sepenuh hati berjanji untuk merawat luka yang dicarik. Hati tersenyum kembali diraikan bahagia oleh si bintang timur. 

Si bintang timur semakin hanyut dalam cinta yang dibina demi mengubat si hati lara. Segala perkara mustahil diwujudkan demi membuktikan betapa dalamnya cinta yang akan diselam bersama. Walau pelbagai keindahan yang disaji namun si hati lara tidak dapat menipu masih teringat akan cinta yang lama. Bintang timur menyeri indah di depan mata, namun memori si pengkhianat cinta itu yang senantiasa menari dalam imbasan. Mulut dikatup, tidak mahu dikhabarkan perasaan sebenar lantaran berasa gembira dengan setiap layanan yang diberi. Kepuraan yang dilakonkan hanya untuk meraih bahagia diri sendiri. Sedang diri sangat sedar bahawa tiada keserasian antara dirinya dan bintang timur. Perhubungan itu dibiar berlalu hanya disulam oleh sebelah pihak.

Suatu masa, terlihat akan kelibat si pengkhianat cinta. Hati yang lara tidak dapat menahan rasa rindu yang teramat. Lalu berlarilah ia sekuat hati keluar dari daerah. Berlari menuju ke arah si pengkhianat cinta. Cairlah si hati lara apabila dilafaz janjikan setia cinta dan tiada istilah curang dalam hubungan yang bakal dibina semula oleh si pengkhianat cinta. Berpergianlah si hati lara bersama pengkhianat cinta jauh dari daerah si bintang timur. Dan si hati lara berlalu pergi tanpa ada niat walau sedikit pun untuk  meninggalkan pesanan kepada si bintang timur. Meninggalkan si bintang timur terpinga-pinga mencari-cari kemanakah hilangnya si hati lara.

Si bintang timur yang dahulunya bersinar terang-benderang, kini sedikit demi sedikit makin malap akan cahayanya. Hari demi hari yang terang benderang itu semakin pudar dan disedari akan penduduk daerah tersebut. Tiba masa, angin melayangkan khabar tentang si hati lara yang sedang enak berbahagia bersama pasangannya. Namun khabar itu tidak dihebahkan demi menjaga hati si bintang timur. Si bintang timur masih menanti, menunggu kepulangan si hati lara. Walau sebenarnya dia tahu, si hati lara telah pergi jauh meninggalkannya tanpa secebis pesanan.

SD : sesungguhnya celaka-lah ke atas kamu yang dengan sengaja mempermain-mainkan perasaan hati orang lain demi menggapai bahagia untuk diri sendiri. dan celaka itu terpalit ke atas aku juga untuk selamanya.

2 comments:

pikir kool said...

ini kisah benar ataupun cerpen?

Unknown said...

orang kata, mekap yang tebal seinci itu untuk menutup parut jerawat. ^_^