Tuesday 26 February 2013

CSI Desa Pandan

Awal pagi lagi dia mendapat panggilan dari ibu pejabat. Hanya dengan menggonyoh mata dan sekadar berkumuh mulut secara ala kadar, dia bingkas menyarung jaket labuh ala-ala Inspector Gadget dan meluru ke kereta. 

"Gedebak."

Dia terjatuh bergolek tatkala cuba melompat masuk ke dalam kereta. Seakan terlupa yang dia hanya memiliki sebuah kancil turbo, tadinya dia membuat cubaan melompat masuk seperti memandu BMW Z4.

"Ah, sikit hari lagi Z4 pasti akan menjalar parking depan pintu rumah aku. Bersabarlah wahai punggung yang sakit." getus dia geram-geram di dalam hati.

Enjin dihidupkan. Bunyi seperti keretapi Tanah Melayu kedengaran dan disusuli asap tebal seperti ada kebakaran yang berlaku. Namun tidak diendahkan lalu dipecut laju kancil turbonya itu walaupun tidaklah laju mana perginya.

Setibanya di ibu pejabat, kereta di parkir bersebelahan dengan tong sampah hatta memang tiada ruang disediakan untuknya sementelah terlalu ramai yang dengki akan kehebatan dan ketangkasan dia dalam menyiasat sesuatu kes. Kepakarannya sentiasa dihebahkan di corong-corong radio, mukanya sentiasa gah di kaca televisyen mengalahkan kehebatan iklan Kak Ton. Kalau didirikan dia dengan Kak Ton sebelah menyebelah, pastinya Kak Ton akan berlari pulang ke rumah sambil menangis.

Dia berdiri sementara di muka pintu opisnya. Sambil membetulkan jaket yang herot berot dek kerana terjatuh tadi, dia mendengar suasana yang agak bising di dalam pejabat. Pintu ditolak dan dia menjengulkan muka di pintu. Semua mata tertumpu kepadanya dan pergerakan mereka menjadi kaku.

"Ah, baru separuh muka saja, korang da terpaku kan. Kacak sunnguh aku." dia tersenyum-senyum memikirkan kekacakan rupanya.

Kaki melangkah masuk dan keadaan masih sunyi sepi. Masing-masing diam, menundukkan muka dan kembali duduk di tempat bertugas masing-masing. Namun kebanyakan mereka memandang dia dengan ekor mata sambil mulut terjuih-juih sengetnya mengatakan sesuatu. Ah, itu sudah satu kebiasaan pemandangannya terhadap orang yang sehebat dia.

"Karim, bos panggil kau masuk bilik dia!" jerkah seorang gadis yang sibuk membetulkan lilitan tudungnya yang dah serupa pocong sambil tangan sibuk mengetik papan kekunci. Update status facebook ler tu.

Punggung yang tak sempat dihempas ke lubuk persinggahannya, diangkat sambil berlari-lari anak ke hujung level menuju pintu yang agak jauh dari penglihatan.

Ketua Detektif. Tertera gah di pintu bilik. Sambil berdehem, tombol pintu dipulas dan dia masuk ke dalam bilik.

"Ya bos. Karim datang melapor diri." Tersengih-sengih dia padahal tahu yang dia sudah terlewat ke pejabat.

"Harini alasan apa pula yang kau nak bagi sebab lambat? Boleh aku masukkan dalam list kau sekarang ni."

"Hehehe. Saya ada beritahu tak yang semalam saya settlekan jiran sebelah yang bergaduh dan hampir bercerai. Nasib baik saya ada. Wife dia tak jadi untuk bercerai dan berpindah rumah asalkan saya juga tak berpindah dari situ dan sentiasa hadir ke rumahnya untuk memberi kata-kata semangat." Kepalanya terbayang akan kehebatan isteri jirannya itu malam tadi.

"Okay. Noted. Aku masukkan dalam list dan jangan nak buat piket pulak bila aku tak bagi bonus hujung tahun nanti. Okay, sekarang ni aku ada kes baru untuk kau. Kes budak-budak kecik jek ni. Fail ada atas meja kau dari semalam. Settelkan. Aku taknak dengar lagi ada orang berperang dalam blog lagi dah."

"Ai ai bos." Dia lantas keluar dan menuju kembali ke sarang singgahsananya.

Fail kuning di atas meja.
Kes sulit.
Fail di selak.

Lokasi : Tidak dapat dikenalpasti
Waktu : Tengah malam yang tak berapa nak buta
Mangsa : Gadis blur
Suspek : Sedang diburu
Motif : Mangsa cantik sikit dari suspek

"Ek eleh. Kes kecik macam ni pun ada ke. Dah takde keje agaknya budak-budak sekarang ni. Patutlah ekonomi negara makin merundum. Sebab budak-budak yang buang masa ni punya pasal lah. Setakat nak cari IP Address, serbu tapak CC mane ntah di login, sekejap jek setel. Aish, budak-budak sekarang ni. Tak mencabar langsung."

Fail dicapai. Maklumat pemangsa diteliti dan segala bahan bukti dikumpulkan.

"Ros, aku nak keluar. Kalau bos tanya cakap aku pegi tapak kejadian."

Belum sempat Ros menjawab, kelibat dia sudah tidak kelihatan di pejabat.

....bersambung....

SD : jejaga awak-awak. saya pasang detektif ni.

No comments: