Tuesday 4 June 2013

On My Shoulder


Berat mana penderitaan itu
Aku sedia membantu
Besar mana kesengsaraan ditanggung
Aku sedia untuk menampung
Bencana mana yang tak mampu dilalu
Aku sedia membuka laluan walau teruk dipalu,

Asal sahaja engkau kembali tersenyum
Asal sahaja engkau kembali menganyam
Kisah cinta yang sering diangan
Semoga suatu hari menjadi kenyataan.


Untuk sekian kalinya dia tiba lewat malam, untuk mengadu perihal nasib malang yang sering menimpa. Dan masih dengan kebiasaan, telinga ini sedia mendengar tanpa mulut tidak banyak bicara. Hanya mendengar. Sesekali senyuman diukir kerana sudah tahu masih lagi nasihat yang sama yang akan diutarakan sebentar lagi. Tiada masalah baru yang dibentangkan. Tidak perlu berusaha untuk memikirkan jalan penyelesaiannya. Dan harapan semoga dia tidak jemu dengan bebelan sebentar lagi kerana aku juga tidak pernah jemu untuk mendengar setiap keluhan yang dihampar.

Erti jemu jelak tak wujud kerana aku hanya mendengar. Bukan aku yang menanggung erti derita itu. Sekadar mendengar, sekadar menonton. Apakah itu sudah cukup untuk aku merasa? Bukan aku yang patut meletakkan hukum bagi setiap kesalahan. Bukan aku yang patut menilai pada perbuatan. Setiap yang berlaku ada sebabnya. Samada kebodohan diri atau kebutaan mata. Atau mungkin kerana erti sejati.

Malam makin larut. Derai ketawa telah berjaya dilontar. Keceriaan itu kembali semula. Mungkin beban telah dialih sementara. Mungkin apa yang aku lakukan tidak sehebat mana. Tapi cukup sekadar menjadi pendengar untuk kau meluah segala keluh kesah. Bagi mengurangkan beban di bahu.

SD : Aku hanya punya telinga untuk kau perdengarkan masalah. Aku tidak akan bersuara malah mungkin mengabaikan masalah itu setelah puas kau menghamburnya kepadaku. Cukuplah kau bertenang setelah masalah itu diperdengarkan.

No comments: