Tuesday, 22 April 2014

Parut Cinta

Jauh sudah kita berjalan. Kadang berpimpin tangan, kadang tangan kita dibiar bebas. Menikmati setiap yang terlintas. Kita menapak dari setiap jalan yang terbentang. Kadang ada cerun, kadang jenuh mendaki bukit. Ada masa kita bergolek dalam menuruni gaung. Tapi kita masih berjalan bersama. Luka-luka yang tercipta, berdarah. Kita rawat bersama. Parut yang tertinggal menjadi bukti kita berdua bukan insan sempurna yang kadang pasti akan tersakiti antara satu sama lain. Tapi masih lagi kita bersama berdua. Parut itu bukti yang kau pernah wujud dalam aku dan aku pernah wujud dalam dirimu. Makin dalam parut yang tertinggal, membuktikan makin dalam cinta yang pernah ada. Dan aku tahu parut itu takkan pernah hilang.

Kadang aku bingung apa yang dikatakan dengan menangis air mata darah sekalipun perkara yang terjadi telah pun terjadi. Apakah itu air mata darah? Apakah yang aku lalui waktu ini boleh dikatakan menangis air mata darah? Memang takde darah yang keluar. Tapi sakitnya seperti ada yang menikam aku bertubi sehingga hampir mati. Menangis itu buat aku mati. Air mata itu yang terjun setiap masa buat aku mati. Air mata yang bergenang tanpa kira waktu buat aku mati. Mulut menjadi berat untuk berbicara kerana setiap bukaan mulut akan menghasilkan air mata yang berduyun mahu berhambus juga buat aku mati. Dalam tak sedar kewujudan air mata itu sendiri telah bikin aku mati. Dan mungkin itu tafsiran aku tentang air mata darah.

Maaf. Tangan yang dipegang dilepas sekejap hanya untuk memberi kebebasan sementara. Kerna aku takut terlalu memegang dengan kuat pasti akan retak. Tangan itu tidak sengaja dilepaskan kerana kadang kita juga letih untuk memegang antara satu sama lain. Kadang-kadang rasa kebas, lalu kita ambil masa untuk membetulkan urat-urat tangan, membengkokkan setiap sendi sampai bunyi berdetak. Tapi maaf. Maaf sejuta kali. Mungkin tak cukup. Aku pohon dengan kemaafan dari sepanjang hayatku. Yang aku tahu maaf yang aku lafazkan ini adalah hukuman untuk diriku sepanjang aku masih hidup. Mungkin juga nanti matiku akan dibawa sekali dengan maaf yang tak berkesudahan ini. Maaf.

Tolong aku bila kau dah mula bangkit dengan kebahagiaanmu. Tolong aku untuk berjalan. Tolong aku untuk bergerak. Tapi bukan sekarang masanya. Ini adalah masa untuk kau bertenang. Dan masa untuk aku bergenang. Satu hari, dua hari, tiga hari. Mungkin seminggu. Mungkin sebulan. Mungkin setahun. Kau tahu kemampuan aku. Kau tahu yang aku akan sentiasa menunggu. Walau seribu tahun lagi. Sebab rinduku ini adalah rindu seribu tahun. Yang hanya tercipta untuk dirimu.

No comments: